Oleh:Aida Aziz

IPOH– Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengesahkan akan bertanding di lima kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusinya, Dr. Muhamad Nur Manuty berkata, rundingan kerusi-kerusi bersama parti komponen Pakatan Harapan telah pun selesai dan dimuktamadkan.

Menurutnya lima Parlimen itu adalah Padang Rengas, Sungai Siput, Gopeng, Bagan Datuk dan Tanjung Malim manakala DUN pula Kenering, Batu Kurau, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Kuala Sepetang, Lintang dan Chenderoh.

Katanya tujuh lagi DUN Hulu Kinta, Bukit Chandan, Tualang Sekah, Simpang Pulai, Teja, Sungai Manik dan Hutan Melintang yang mana calon bertanding akan mewakili Pakatan Harapan (Pakatan).

Beliau berkata demikian di Pelancaran Jentera Pilihan Raya Keadilan dan Penyerahan Bahan Logistik PRU14 Peringkat Negeri Perak, di sini hari ini.

Tambahnya, mereka mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN bagi menyumbang kepada Pakatan untuk membentuk kerajaan di negeri ini.

“Saya yakin PKR boleh menambah kerusi sedia ada sebanyak lima paling kurang, dengan tambahan lima ini PKR dapat sumbang kepada pembentukan kerajaan negeri sekarang.

“Untuk Parlimen saya menjangkakan bahawa daripada lima itu kita harap semua kerusi PKR bertanding,”katanya.

Selain itu, katanya PRU kali ini akan menampilkan kira-kira 30 peratus calon wanita yang akan bertanding atas tiket PKR.

“Senarai calon dijangka akan diumum dalam tempoh dua ke tiga hari dan akan diumumkan sebelum hari penamaan berlangsung,”katanya.

Pada PRU-13, PKR bertanding di 10 kerusi Parlimen dan menang tiga iaitu Lumut, Gopeng dan Sungai Siput.

Bagi kerusi DUN, parti itu bertanding di 19 kerusi dan menang lima iaitu Kuala Sepetang, Kuala Kurau, Teja, Simpang Pulai dan Hutan Melintang