Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PARIT BUNTAR: Kerja-kerja merobohkan struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam yang mencetuskan pelbagai kontroversi baru-baru ini akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Mac depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu diutarakan oleh pihak  PLUS Malaysia Berhad khususnya mengenai keperluan untuk mempercepatkan proses merobohkan struktur tersebut.

Jelasnya, buat masa ini pihaknya sedang giat mengendalikan proses pengalihan aset membabitkan peralatan tol, papan tanda dan sebagainya bagi tujuan tersebut.

Menurut Fadillah, pihak PLUS juga sedang bekerjasama dengan memindahkan aset mereka daripada kawasan terbabit.

“Apabila kerja pengalihan aset Plus selesai, barulah kerja merobohkan struktur bangunan akan dapat dibuat.

“Selain itu, saya turut dimaklumkan bahawa program pengurusan trafik juga akan dijalankan bagi memastikan aliran trafik tidak terganggu semasa kerja-kerja perobohan sedang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan  majlis pecah tanah projek pembinaan fasa ketiga Hospital Daerah Kerian di sini pada pagi Selasa.

Fadillah, ketika itu mengulas kenyataan segelintir pihak terutama pengguna lebuh raya yang menyuarakan pendapat agar plaza tol berkenaan dirobohkan selepas berlaku beberapa insiden kemalangan meragut nyawa.

Dalam pada itu, Fadillah turut mengingatkan pengguna lebuh raya melalui Plaza Tol Batu Tiga supaya lebih berwaspada dan memandu dalam keadaan berhemah bagi mengelakkan sebarang kemalangan tidak diingini.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi mengelak kenderaan terlibat kesesakan dan kemalangan yang boleh meragut nyawa.

“Saya menyeru pengguna jalan raya supaya berhati-hati sebab akhirnya yang menentukan kita selamat atau tidak di jalan raya adalah diri kita sendiri.

“Kita kena pandu secara berhemah dan perlu sentiasa berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kemalangan tidak diingini daripada berlaku,” ujarnya lagi.