KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak umat Islam terus bermunajat ketika dunia masih diuji pandemik COVID-19 serta dalam usaha memulihkan ekonomi negara dan memperkukuh perpaduan rakyat.

Beliau berkata, ujian itu seharusnya mengukuhkan iltizam masyarakat Islam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Rasulullah SAW yang tidak pernah melupakan umatnya.

“Semoga dengan usaha ini kita akan beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah SWT, serta kita semua digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi dan kelak akan menerima syafaat Rasulullah SAW, insya-Allah,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H hari ini.

Perdana Menteri berkata, bersempena sambutan Maulidur Rasul, beliau ingin mengajak umat Islam untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi Sunnah insan yang sangat mulia dan dikasihi.

Beliau berkata pada tahun ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggerakkan kempen ‘Malaysia Berselawat’ yang mana peserta terdiri daripada rakyat Malaysia dianjurkan untuk merakam selawat dalam bentuk video pendek yang dikongsi di media sosial masing-masing dengan hashtag #SemarakCintaRasul serta tag laman sosial JAKIM.

“Ini bukan sahaja inisiatif yang sangat baik dan bersesuaian dengan amalan norma baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian, bahkan yang lebih utama melambangkan bukti kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah melalui amalan berselawat ke atas Nabi SAW,” katanya.

Muhyiddin berkata, Rasulullah SAW adalah sebaik-baik teladan yang memiliki sifat Rabbani dan akhlak terpuji, yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia.

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (Surah Al-Ahzab: 21).

“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta sahabat Baginda sekalian.

“Saban tahun, kita memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kasih dan sanjungan terhadap risalah perjuangan serta pengorbanan Baginda SAW terhadap umatnya.

“Tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’. Tema ini dipilih untuk menggambarkan peri pentingnya sifat Rabbani dan kepatuhan hamba kepada Pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara,” katanya.