PANGKOR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat dan meninjau Jeti Pangkor di sini, dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pangkor, hari ini.

Lawatan kerja pertama beliau ke Pulau Pangkor itu, dipenuhi program rasmi termasuk mempengerusikan mesyuarat Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23.

Beliau yang tiba di jeti pada jam 9.50 pagi itu, turut disertai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Muhyiddin meninjau jeti utama pergerakan keluar masuk pelancong ke pulau itu yang ketika ini semakin padat terutama ketika cuti umum dan hujung minggu sejak pelaksanaan pulau bebas cukai.

Ahmad Faizal turut memberi taklimat kerja penambahbaikan Jeti Pangkor antara fokus di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) ketika hadir melawat di jeti Pangkor sempena Lawatan Kerja Perdana Menteri di Pulau Pangkor. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Sementara itu, Zambry berkata, kerja menaik taraf jeti penumpang itu perlu dilakukan segera supaya dapat menyelesaikan masalah kesesakan, sekali gus meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke pulau itu.

“Selaras perubahan status Pangkor sebagai pulau bebas cukai, kehadiran pelancong semakin meningkat mencapai 30,000 hingga 50,000 orang terutama pada musim percutian.

“Bagaimanapun, keadaan jeti utama yang kecil menyebabkan masalah kesesakan dan sebab itu kerja menaik taraf jeti perlu disegerakan supaya ia lebih selesa.

“Ini termasuk jeti di Sungai Pinang Kecil untuk kegunaan penduduk pulau ini dan jeti kargo untuk mengangkut barang selain penambahan feri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jebasingam berkata, Jeti Pangkor akan dinaik taraf dengan dilengkapi terminal teksi dan pengangkutan awam bersepadu, Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan penginapan kakitangan.

Beliau berkata, terminal penumpang dicadangkan akan dibangunkan di tanah seluas 7.28 hektar yang kerja pembinaan akan dilakukan berperingkat.

Menurutnya, cadangan struktur jeti diperluas boleh menempatkan hingga enam kapal pada bila-bila masa.

Katanya, kerja menaik taraf Jeti Kargo Sungai Pinang Besar pula akan mempunyai gudang dan logistik bersepadu serta jalan masuk ditingkatkan untuk menampung kapal roll-on, roll-off lebih tinggi dan luas (besar).