PUTRAJAYA, 23 DIS : Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020 – 2030 akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, ia merangkumi transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif, mempergiatkan digitalisasi pelancongan, memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan.

“Kerajaan sedar bahawa negara memerlukan hala tuju yang dinamik dan strategik dalam memulihkan semula industri pelancongan ini.

“Maka, saya yakin melalui Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020 – 2030 yang digagaskan Kerajaan Perikatan Nasional ini, kita mampu menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta menjadikan Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.

“Ini akan dicapai melalui pendekatan utama yang merangkumi Pengukuhan Daya Saing, Pembangunan Sektor Pelancongan Secara Lestari dan Inklusif, serta Kesedian Mengharungi Bencara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi maya Majlis Pelancaran Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 pada Rabu.

COVID-19 menyebabkan aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan industri pelancongan, seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman, dan penganjuran acara-acara terpaksa berhadapan dengan saat-saat yang menyulitkan.

Pada 2020, jumlah anggaran kerugian industri pelancongan negara adalah melebihi RM100 bilion.Dalam pada itu, jelas Muhyiddin, pembangunan industri pelancongan yang berasaskan teknologi digital adalah penting bagi memastikan objektif dasar itu dapat dicapai.

“Tambahan pula, kemajuan teknologi juga dapat mengukuhkan jaringan antara industri serta membuka jalan bagi sub-sektor inovatif baharu dalam industri pelancongan yang akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan.

“Dengan ini, pelaburan pelancongan yang berpusatkan teknologi adalah digalakkan.”Melalui DPN ini, Malaysia akan mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan atau Special Tourism Investment Zones bagi meningkatkan kerjasama awam-swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.

Di samping itu kata Muhyiddin, adalah penting untuk kerajaan mengimbangi pembangunan serta pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara termasuk alam sekitar, budaya dan warisan.

“Matlamat kita adalah untuk menjenamakan Malaysia sebagai Top of The Mind Ecotourism Destination of the World.

“Saya juga yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

“Selain menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan pembangunan produk pelancongan sentiasa mampan, berdaya saing dan inklusif seperti yang dinyatakan dalam DPN, usaha ini juga adalah selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations,” ujarnya.

United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) meramalkan bahawa pemulihan sektor pelancongan global dijangka mengambil masa selama dua hingga empat tahun.Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut memaklumkan bahawa negara memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk memulihkan semula industri ini.

Pada 2019, industri pelancongan merekodkan sumbangan 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion.

Manakala, guna tenaga dalam industri pelancongan mencatatkan 3.6 juta orang yang menyumbang 23.6 peratus kepada keseluruhan guna tenaga.

Ini bermakna bagi setiap empat pekerjaan di Malaysia, satu daripadanya adalah berkaitan dengan industri pelancongan.

Bagi tahun 2019, perbelanjaan pelancong asing telah meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM86.1 billion dengan ketibaan pelancong sebanyak 26.1 juta orang.

Manakala, perbelanjaan pelancongan domestik pula telah menyumbang sebanyak RM103.2 billion, iaitu peningkatan sebanyak 11.5 peratus. – AWANI