KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan inisiatif tambahan khas, KITA PRIHATIN membabitkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM10 bilion.

Ia merangkumi inisiatif Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM600 juta, Bantuan Prihatin Nasional (RM7 bilion) dan Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion).

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan dan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) diminta memastikan semua bantuan dan insiatif terbabit disalurkan kepada rakyat tepat pada masanya.

“Kita tidak boleh mengharapkan bantuan dari luar negara kerana negara-negara lain juga sedang bergelut menyelesaikan masalah mereka sendiri. Kita hanya dapat bergantung sesama kita dalam sebuah keluarga besar rakyat Malaysia.

“Mudah-mudahan pakej KITA PRIHATIN ini akan dapat memberikan manfaat besar kepada saudara dan saudari sekalian,” katanya dalam perutusan khas KITA PRIHATIN yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Pakej KITA PRIHATIN adalah inisiatif berterusan kerajaan dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19 selepas pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan PENJANA yang keseluruhannya bernilai lebih RM295 bilion.