JITRA: Angin ribut kira-kira 10 minit, malam tadi, menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar daerah ini, termasuk meranapkan bumbung kediaman penduduk yang mengakibatkan seorang lelaki cedera.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Jeffri Ibrahim, 40-an, cedera di kepala kerana ditimpa serpihan kayu alang apabila bumbung rumahnya di Kampung Kodiang Lama Dalam dihempap sebatang pokok sebesar pemeluk.

Susulan kejadian itu, penduduk kampung menghantar mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis, untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil kini.

Di samping itu, 11 kawasan lain, iaitu Jalan Sanglang, Sekolah Kebangsaan Tengku Bendahara, Kampung Damai Kodiang, Kampung Pulau Kecik, Kampung Kodiang Lama, Taman Desa Kubang Pasu, Kampung Bukit Wang, Taman Desa Darulaman, Taman Pulasan Jitra, Jalan Lubuk Kawah, Jalan Alor Rambai di Tok Jalai dan Kampung Imam Padang Perahu, turut mengalami insiden pokok tumbang.

Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Kodiang Lama Dalam, Ahmad Nayan, 53, berkata ketika kejadian, ramai tetamu sedang bertandang di rumah penduduk sempena Aidilfitri.

Beliau berkata, angin kencang menyebabkan beberapa pokok tumbang dan ranting berterbangan sehingga boleh mengancam keselamatan.

“Ketika itu, saya terdengar ada penduduk di kampung bersebelahan melaungkan azan untuk memohon pertolongan Allah kerana bimbang keadaan bertambah buruk.

“Di kampung ini, hanya seorang penduduk mengalami kecederaan di kepala dan sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kejadian berlaku ketika mangsa bersama ahli keluarga sedang makan di dalam rumah sebelum sebatang pokok menghempap bumbung di belakang kediaman mereka,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ahmad yang juga anggota Pasukan Tindak Balas Kecemasan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kampung itu berkata, beliau kemudian menghubungi APM Kubang Pasu bagi mendapatkan bantuan ekoran kejadian itu.

Sementara itu, Sekretariat Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada jam 9 malam sebelum tujuh anggotanya dan skuad bantuan dikerahkan ke lokasi untuk membantu penduduk.

Katanya, operasi itu turut mendapat kerjasama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya.

“Operasi masih berjalan setakat jam 10 pagi ini dan anggota kami sedang membersihkan sebahagian kawasan di beberapa kampung yang dipenuhi dahan pokok tumbang malam tadi,” katanya.