IPOH: Kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini telah diarahkan memantau keadaan pokok dibawah kawasan masing-masing.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata arahan tersebut dikeluarkan berikutan beberapa kejadian pokok tumbang yang berlaku sejak minggu lalu di sekitar Ipoh sehingga telah mengorbankan seorang wanita.

“Kita telah minta PBT-PBT khususnya Majlis Bandaraya Ipoh untuk pantau keadaan pokok-pokok yang ada bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku.

“Kita tahu Ianya agar sukar untuk tentukan keadaan pokok itu jika Ianya akan tumbang atau tidak namun jika terdapat pokok yang berisiko, mereka perlu merawat pokok itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini pada Rabu.

Beliau turut sempat merakam ucapan takziah kepada mangsa yang maut akibat dihempap pokok pada Sabtu lalu.

“Saya simpati dengan keluarga terlibat, saya harapkan tiada lagi kejadian seperti ini berlaku,” ujar beliau.

Sejak seminggu lalu lebih 7 batang pokok telah tumbang ekoran cuaca yang tidak menentu di sekitar Ipoh. Beberapa kedai dan kenderaan turut terlibat musnah akibat bencana alam berkenaan.