PETALING JAYA : Seorang wanita warga China yang berumur lingkungan 20-an meninggal dunia selepas dihempap sebatang pokok di depan pintu masuk utama Universiti Malaya hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika ibu negara dilanda hujan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur melaporkan pasukan penyelamat berkejaran ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.31 petang tadi.

Setibanya di depan pintu utama universiti pada 5.44 petang, mereka mendapati mangsa dihempap sebatang pokok.

“Mangsa tersebut disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik Pusat Perubatan Universiti Malaya,” kata Komander Operasi Mohd Ramzan Muhammad dalam kenyataan.

Mayat wanita itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, pokok tumbang juga melibatkan tiga buah kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran.