IPOH : Polis akan terus berusaha mematahkan cubaan untuk menghidupkan sebarang bentuk kumpulan kongsi gelap dan gengster di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kewujudan kumpulan seumpama ini tidak baik untuk keselamatan negara.

Menurutnya, kumpulan ini kebiasaannya cenderung untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Kita tidak mahu budaya liar kongsi gelap ini hidup kembali dalam negara kita, sebagaimana sewaktu tahun 60an, 70an, 80an kita tidak boleh biarkan apa juga jenis gangsterism, kongsi gelap bergiat dalam negara kita.

“Kumpulan kongsi gelal ini akan lakukan apa sahaja untuk mendapatkan duit.

“Mengawal premis-premis hiburan, macam-macam lah perkara yang tidak patut mereka lakukan, mereka langgar undang-undang atas nama bahawa mereka ada persatuan, ada kesatuan, orang ramai, ahli-ahli dia boleh menakutkan orang lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis
Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 456 penerima di Kem Pasukan Gerakan Am di Hulu Kinta, di sini, pada Selasa.

Pada Sabtu, seramai 114 individu dipercayai ahli kongsi gelap Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat (PAKIS), termasuk ketua mereka dikenali sebagai ‘Ayah Bos’, ditahan polis dalam serbuan di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur.

Dalam serbuan itu, kumpulan terbabit dipercayai sedang bersiap sedia untuk menyertai majlis angkat sumpah yang diadakan di sebuah premis.

Abdul Hamid berkata, pihak polis akan menyiasat latar belakang mereka, termasuk kesalahan dan rekod jenayah lampau.

Di samping itu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah akan mengambil langkah drastik untuk mendapatkan hukuman maksima terhadap mereka.