KUALA LUMPUR: Polis mengarahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, untuk segera tampil bagi menyelesaikan proses jaminannya yang tergendala, Jumaat lalu.

Ini bagi mengelakkan dia daripada terus menjadi buruan pihak polis dengan sengaja melengah-lengahkan proses itu walaupun memberikan alasan sedang berehat berikutan sakit belakang yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pihaknya hanya mahu Jamal tampil menyelesaikan perkara itu seberapa segera.

“Kita minta dia hadir. ‘Just turn up’ (Hadir sajalah). Buat masa ini, dia belum datang berjumpa kita.

“Sebaik dia hadir, kita akan teruskan proses dokumentasi jaminannya,” katanya tanpa menyatakan tempoh masa yang diberikan kepada Jamal.

Jamal, 48, hari ini mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini, kelmarin.

Katanya, beliau menyangkakan proses jaminan atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya pada hari terbabit sudah selesai sebelum beredar keluar dari hospital untuk ke Tabung Haji untuk mengeluarkan wang – berita harian