JOHOR BAHRU: Polis memberi amaran keras termasuk merampas dan menahan kumpulan remaja yang dikesan berbasikal lajak ketika menyaksikan perarakan Chingay di bandar raya ini, pada 8 Mac ini.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata perkara itu penting bagi mengelak berulangnya kejadian lapan remaja basikal lajak maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Mahmoodiah, pada 18 Februari tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa mengawasi anak-anak mereka supaya elak menunggang basikal tidak menepati spesifikasi diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengelak tragedi kemalangan basikal lajak berulang.

“Saya nasihatkan kepada ibu bapa supaya mengawasi anak-anak yang ingin hadir menyaksikan pesta itu, kalau boleh pastikan basikal yang digunakan mengikut spesifikasi diluluskan JPJ di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

“Antaranya, basikal itu perlu ada brek, lampu dan dilengkapi sistem keselamatan basikal mengikut spesifikasi asal ketika membeli kenderaan itu di kedai,” katanya.

Tegas beliau, polis sentiasa mengambil iktibar daripada kes lampau dan turut membincangkan isu itu dengan matlamat meningkatkan keselamatan dan mengawal kegiatan basikal lajak.

“Sejak kejadian itu bermula hingga kini, tidak ada lagi isu basikal lajak di JBS, malah kegiatan mat rempit juga dibanteras terutama ketika pesta besar seperti itu,” katanya.

Tambah beliau, tindakan merampas basikal dilakukan sekiranya melanggar akta ditetapkan, selain penempatan anggota dipertingkatkan di lokasi yang dikenal pasti menjadi punca nahas itu tahun lalu.

Dalam kejadian pada 18 Februari tahun lalu, lapan maut manakala empat parah apabila basikal dinaiki mereka dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam arah Dataran Bandaraya.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ke atas sekumpulan 16 penunggang basikal berusia antara lapan hingga 16 tahun, sekitar jam 3.30 pagi ketika berkumpul di simpang bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, dipercayai berlaku selepas menyaksikan Perarakan Chingay.

Kumpulan itu kemudian berbasikal berqmai-ramai ke lampu isyarat dekat Hotel Thistle di Jalan Sungai Chat, bagaimanapun kumpulan dipercayai dari Kampung Seri Makmor Plentong dan Pasir Gudang itu tiba-tiba dirempuh kereta terbabit dari belakang – berita harian