IPOH – Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan yang aktif memecah rumah dan sekolah di sekitar bandaraya Ipoh sejak Januari lalu dengan tertangkapnya sembilan lelaki dan empat wanita baru-baru ini.

 

Kesemua suspek termasuk dua wanita Vietnam berusia 27 hingga 55 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar bandaraya ini dan Kuala Lumpur melalui Ops Pintu yang dilakukan sejak 12 Mac lalu.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, lima lelaki dan dua wanita warga asing yang ditahan itu merupakan ahli Geng Vios Putih dan dipercayai terlibat dalam 13 kes pecah rumah melibatkan kerugian berjumlah RM400,000.

 

“Kegiatan kumpulan ini terbongkar selepas polis menahan dua lelaki dan dua wanita Vietnam di sebuah rumah di Desa Chemor Permai pada jam 3.30 pagi, 12 Mac lalu.

 

“Antara lokasi kegiatan kumpulan ini adalah Simpang Pulai, Menglembu, Kampung Tawas, Ampang baru, Tambun dan Pasir Puteh,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Khamis.

 

Dalam pada itu, beliau memberitahu empat lagi lelaki dan dua wanita lain yang ditahan itu pula merupakan Geng Jimmy yang aktif melakukan kegiatan pecah sekolah dan dipercayai telah memecah masuk lapan sekolah di Ipoh melibatkan kerugian puluhan ribu ringgit.

 

“Kumpulan diberkas selepas kita menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di sebuah hotel di bandar ini, susulan itu kita adakan beberapa serbuan lagi untuk menahan lima lagi.

 

“Modus operandi kumpulan ini yang dianggotai oleh individu berusia 22 hingga 33 tahun ini, mereka pecah masuk ke dalam sekolah melalui bahagian belakang sebeum mengumpil untuk mencuri barang berharga,” ujar beliau.

 

Tambahnya kesemua mereka dipercayai terlibat dalam lapan kes pecah sekolah antaranya Ampang Baru, Pekan Bharu, Pasir Puteh, Sungai Senam dan Manjoi.

 

Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disisat mengikut Seksyen 457 dan 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah serta memiliki barang curi.

 

“Kita menyeru orang ramai jika rumah mereka pernah dipecah sebelum ini boleh datang ke IPD Ipoh untuk mengecam barang mereka masing-masing,” katanya Yahya.