IPOH: Polis Perak berjaya membongkar satu sindiket kegiatan penipuan membeli barang menggunakan cek tendang dengan tertangkapnya enam lelaki termasuk dua warga Bangladesh.

Polis turut merampas 37 unit alat penghawa dingin bernilai RM35,604 dalam tiga tangkapan berasingan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Superintenden Lee Ewe Kiang berkata, tangkapan kesemua suspek itu susulan laporan polis yang dibuat seorang peniaga kedai alat penghawa dingin di Medan Song Choon, Jalan Sultan Nazrin kelmarin.

Menurutnya, peniaga itu mendakwa telah dihubungi seorang lelaki pada Selasa lalu yang mahu membeli lapan unit alat penghawa dingin jenama Dalkin dengan harga RM7,520.

“Semasa kejadian pengadu tiada dikedai namun telah dimaklumkan oleh pekerjanya mengenai seorang lelaki yang datang kekedai berkenaan untuk mengambil alat penghawa dingin dan menyerahkan sekeping cek bertarikh 28 Mac dengan nilai RM7,520.

“Bagaimanapun, pada pukul 3 petang, lelaki sama datang semula ke kedai tersebut dan mengambil lagi enam unit alat penghawa dingin sebelum menyerahkan cek bernilai RM8,154,’’ katanya.

Menurut Ewe Kiang, pada pukul 4.45 petang hari sama seorang lelaki datang ke kedai itu dan menyerahkan cek bernilai RM19,930 bagi pembelian 23 unit alat penghawa dingin.

Beliau berkata pengadu telah memasukkan kesemua cek berkenaan ke dalam bank namun tidak diterima kerana akaun bank tersebut telah lama tidak digunakan lagi.

“Sebelum pengadu membuat laporan polis, seorang lelaki lain telah datang sekali lagi ke kedai pengadu dan memberikan sekeping cek bernilai RM27,400 untuk pembelian 25 unit alat penghawa dingin. Bagaimanapun pembelian itu telah ditolak.

“Susulan laporan polis yang dibuat, tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 40 tahun di Dataran Pandan Prima, Ampang pada pukul 2.30 pagi sebelum tangkapan kedua pada pukul 6.30 pagi di sebuah kondominium di Cheras,’’ katanya dalam satu sidang media di pejabat Cawangan Jabatan Siasatan Komersil Sungai Senam pada Jumaat.

Beliau menambah, hasil siasatan terhadap suspek kedua berusia 37 tahun dan dipercayai dalang utama kegiatan itu mendedahkan kesemua alat penghawa dingin itu telah dijual dengan harga RM500 seunit.

Katanya, pihak polis kemudiannya memberkas dua rakyat Bangladesh dan dua beradik di sebuah restoran di Jalan Maju, Balakong, Cheras sebelum mereka membawa ke sebuah rumah sewa di Taman Indah, Batu 9 Cheras dan merampas 37 unit alat penghawa dingin.

“Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga 2 April ini dan siasatan tehadap mereka dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan ,’’ ujarnya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua peniaga agar lebih berwaspada dan menunggu sehingga cek ditunaikan di bank sebelum melepaskan barangan yang diniagakan kepada pembeli.

“Modus operandi seperti ini adalah cara yang paling mudah digunakan suspek-suspek cuma wujud dalam perbualan telefon manakala pemandu lori yang diupah pula tidak mengetahui apa sebenar yang berlaku,’’ katanya.