KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan dibuat oleh Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP, Amran Ahmad, yang mendedahkan DAP mereka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang menganggu demokrasi Parlimen.

“Saya mengesahkan menerima laporan dibuat individu terbabit (Amran) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Amran yang juga bekas pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendedahkan perkara itu dalam sidang media, semalam.

Menurut Amran, semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei ini.

Beliau mendakwa, antara fitnah sedang dan akan terus disebarkan parti pembangkang itu adalah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), FELDA dan Tabung Haji, selain menyentuh perkauman, menghina agensi kerajaan, ekonomi, tol dan projek kerajaan lain.

Sementara itu, Mazlan berkata, sebanyak 198 permit ceramah dikeluarkan bagi tempoh bermula hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hingga hari ini.

“Sepanjang tempoh itu juga, lima ceramah didapati tidak mendapatkan permit dan disiasat mengikut Seksyen 24B (10) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkenaan.

“Pada masa sama, kami turut menerima 142 laporan polis dan 25 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan termasuk lima kes membabitkan penganjur tidak mendapatkan permit ceramah, khianat dan lain-lain mengikut Seksyen 298A Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Seksyen 427 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian