SUNGAI SIPUT – Kerana cemburu, seorang lelaki sanggup memukul kenalannya menggunakan sebatang kayu sehingga mengalami kecederaan parah dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Kampung Jalong di sini kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin, mangsa Mohd. Izar Mohamad Anuar, 22, yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala itu dibawa di Hospital Sungai Siput sebelum disahkan meninggal dunia tengah malam tadi.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa pada awalnya dipanggil ke lokasi kejadian sebelum dipukul dan dia kemudiannya dihantar pulang ke rumahnya selepas itu.

“Mangsa masih sedar ketika dibawa ke hospital namun dia kemudiannya tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini pada Khamis.

Ujarnya, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPB pada pukul 12.37 tengah malam tadi.

Tambahnya susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa, dua lelaki berusia 17 dan 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan mereka ditahan reman selama lima hari sehingga 5 September depan.

“Polis turut merampas sebatang kayu berukuran hampir satu meter dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut.

“Kita masih lagi mengesan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan iaitu Mohd. Rozaimi Amer, 30, atau Amy dan Muhammad Za’im Nor Manan, 20, atau Manap dengan salah seorang mereka dipercayai suspek utama dalam kejadian pergaduhan tersebut,” katanya.

Mohd. Khaizam berkata, kedua-dua suspek tersebut masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau sebanyak lapan dan empat kes berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek utama baru sahaja dibebaskan dari penjara minggu lalu atas kesalahan dadah,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kedua-dua suspek diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis di balai polis berdekatan.

Katanya, berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa, polis percaya pergaduhan tersebut hanya melibatkan mangsa dan suspek utama namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pada peringkat awal, polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan namun kini polis mengklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”ujarnya.