KUALA KANGSAR: Masjid Hidayatul Ummah Kota Lama Kiri dekat sini kerugian kira-kira RM1,000 apabila tabung masjid itu dipancing oleh seorang lelaki pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, kejadian itu hanya disedari siak masjid pada 7.30 malam apabila dimaklumkan wang tabung di rusng solat wanita hilang.

Menurutnya, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilakukan setiausaha masjid, didapati pada 9.35 pagi hari yang sama, seorang lelaki yang tidak dikenali telah mencuri wang dari empat tabung di ruang utama masjid.

“Dari rakaman CCTV didapati suspek datang dari arah pekan Kuala Kangsar telah masuk ke kawasan masjid dengan menggunakan motosikal warna biru nombor pendaftaran tidak pasti,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Razali berkata, suspek masuk ke ruang utama masjid melalui pintu yang tidak berkunci di bahagian mengambil air sembahyang.

Selepas itu, katanya, suspek memasuki ruang solat utama dan mencuri wang dalam tabung derma lut sinar di ruang solat wanita dengan cara merenggangkan tabung itu di bahagian kuncinya.

Menurutnya, suspek turut mencuri wang dari tiga tabung lain dengan cara memancing duit di dalam tabung-tabung berkenaan.

Razali berkata, usaha telah dibuat untuk mengesan cap jari suspek di atas tabung duit derma tersebut tetapi gagal timbulkan cap jari yang sempurna.

Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan suspek.