BATU GAJAH: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang cuba menyamun hasil kutipan daripada mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di Pekan Batu Gajah, Perak pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang di bahagian luar kaki lima premis bank berkenaan.

Semasa kejadian, mangsa, seorang juruteknik sebuah syarikat keselamatan bersama rakan sekerjanya, seorang pengawal keselamatan yang bersenjata pump gun baru selesai melakukan kerja memasukkan wang ke dalam mesin ATM dan mengutip wang dari mesin CDM di bank tersebut.

Menurut ACP Ahmad Adnan, ketika mereka mahu memasukkan wang kutipan itu ke dalam van yang menunggu di luar premis bank, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul dan mengacukan objek berwarna hitam menyerupai pistol ke dada pengawal keselamatan yang bersenjata.

Suspek kemudian terus mengacu objek menyerupai pistol itu ke arah juruteknik berkenaan sambil berkata mahukan wang tetapi mangsa enggan menyerahkannya sambil berlari meluru masuk ke dalam van.

ACP Ahmad Adnan berkata, suspek dipercayai panik dan melarikan diri ke arah belakang bangunan premis bank tersebut.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa telah memasukkan wang ke dalam mesin ATM bank berkenaan sebanyak RM60,000 dan mengutip lebih kurang RM200,000 dari mesin CDM.

Mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana dia memakai pelitup muka berwarna biru tetapi berambut pendek, berkulit cerah, tinggi lebih kurang 5 kaki 7 inci, berbadan kurus, memakai jaket warna hitam di dalamnya kemeja T leher bulat berwarna hitam, berseluar panjang warna hitam dan berkasut.

Pihak polis sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sekitar tempat kejadian dan sedang mengesan saksi bebas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 / 397 Kanun Keseksaan.

Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk menghubungi pihak Polis IPD Batu Gajah di talian 05-3629222 jika ternampak suspek berkenaan.