SITIAWAN: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan dipandu seorang penagih dadah yang bertindak agresif melanggar Balai Polis Kampung Koh pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 1.45 pagi itu, sebanyak dua das tembakan dilepaskan untuk menghalang perbuatan lelaki berusia 28 tahun itu daripda terus melanggar dan merosakkan balai polis di Sitawan itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhamad Hanif Othman berkata kes khianat itu berlaku ketika anggota polis tersebut sedang bertugas di kaunter aduan sebelum menyedari kenderaan yang dipandu mangsa.

“Tiba-tiba, sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang dinaiki suspek mengundur ke belakang dan terus melanggar pintu cermin hadapan balai, justeru menyebabkan kedua-dua pintu rosak dan cermin pecah.

“Kereta tersebut kemudian cuba melanggar sekali lagi dan seorang anggota polis kemudian telah melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri ke atas kereta berkenaan.

“Polis kemudian dengan pantas berjaya menangkap saspek yang memandu kenderaan tersebut,”katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambahnya, saspek mengalami luka di bahagian kepala dan muka berikutan perlanggaran dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Jelasnya, tiada kemalangan jiwa berlaku ke atas saspek dan anggota berkenaan berikutan insiden itu.

Mohd Hanif berkata,siasatan lanjut mendapati saspek merupakan seorang penagih dadah yang mempunyai tiga kes lampau melibatkan khianat dan dadah serta ceroboh premis.

“Kita juga mengesyaki saspek adalah seorang yang tidak siuman berdasarkan daripada perlakuannya yang agresif.

“Suspek yang menetap di Sitiawan juga dipercayai menggunakan dadah dan pihak Hospital Seri Manjung menyarankan saspek dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi siasatan lanjut,”ujarnya lagi.

Muhamad Hanif berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas.