JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 74,500 kotak rokok seludup bernilai RM751,060 termasuk cukai selepas mengekori sebuah lori tiga tan di Tiram, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 10.35 malam itu, pemandu lori berkenaan bertindak memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata pihaknya sebelum itu mengesan lori itu yang mencurigakan, dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Kulai.

Katanya, seorang pegawai dan empat anggotanya terbabit Ops Landai itu kemudian mengekori kenderaan terbabit dan cuba memintasnya, namun tidak mendapat kerjasama pemandu.

“Selama 15 minit diekori, kenderaan itu tiba-tiba berhenti di tepi jalan berhampiran persimpangan Sungai Tiram dan pemandunya bergegas melarikan diri ke hutan berhampiran.

“Anggota cuba mengesan pemandu itu namun, gagal ditemui. Hasil pemeriksaan menemui rokok seludup disimpan di bahagian belakang lori,” katanya dalam sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di sini, hari ini.

Khon Chiang berkata, rokok itu dianggar bernilai RM74,600, manakala cukai mencecah RM35,760 selain duti import dan eksais sebanyak RM640,700.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa barang yang dilarang, selain tidak membayar cukai.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan begitu dan jenayah di perairan boleh menghubungi talian 07-2372222 atau 07-2376122.