POLIS merampas 11 basikal lajak yang digunakan sekumpulan remaja di Taman Sri Impian, Kluang, semalam.

Dalam Ops Basikal Lajak bermula 5 petang hingga 7 malam itu, semua ibu bapa dan penjaga kepada 11 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun terbabit turut dipanggil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) untuk diberi kaunseling.

Ketua Polis Daerah Kluang, Assistan Komisioner Muhamad Laham, berkata operasi dilakukan berikutan

laporan dalam laman media sosial, Facebook

dan satu gerakan mengesan kumpulan yang dikenali dengan panggilan basikal lajak itu dilakukan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, sebaik mendapat maklumat kumpulan remaja lelaki terbabit berkumpul di pasar malam berkenaan, sepasukan 12 anggota dikejarkan untuk melakukan serbuan dan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi, pihak polis mendapati semua basikal lajak diletakkan di satu kawasan di pasar malam sebelum kumpulan remaja yang juga pemilik basikal berjaya dikesan.

“Hasil pemeriksaan ke atas basikal itu, pihak polis mendapati ianya menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya melalui kenyataan media di Kluang, hari ini.

Muhamad berkata, semua ibu bapa atau penjaga kepada remaja kemudiannya dipanggil untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) untuk mengambil anak-anak mereka.

“Mereka juga diberikan kaunseling tentang bahaya menunggang basikal lajak serta amaran keras untuk tidak mengulangi perbuatan sama pada masa hadapan.

“Semua basikal turut ditahan mengikut seksyen yang Sama,” katanya -berita harian