KUANTAN: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang memantau pergerakan individu dan premis perjudian yang berpotensi menjadi ‘bookie’ sempena kejohanan Piala Dunia Russia 2018 yang bermula malam ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, berkata pemantauan itu turut membabitkan pertaruhan secara atas talian oleh bookie profesional.

“Tidak menolak kemungkinan mereka (bookie) sekarang guna Online untuk kutip wang pertaruhan dan membuat pertaruhan bagi kaki judi, taktik ini bagi mengelak dikesan polis.

“Bagaimanapun, pasukan kita menerusi Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) IPK melakukan pengawasan daripada pelbagai sudut bagi memastikan aktiviti ini tidak menular di Pahang,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Rosli berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Bukit Aman yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam membanteras kegiatan bookie bola sepak sejak sekian lama.

Katanya, sebarang maklumat risikan yang diterima akan disalurkan kepada Bukit Aman untuk tindakan susulan termasuk menyerbu premis yang dikenal pasti menjalankan kegiatan berkenaan.

“Buat masa ini, kita tidak terima maklumat mengenai aktiviti ini (pertaruhan Piala Dunia) dijalankan di Pahang, namun orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada kami.

“Mereka yang terbabit dengan kegiatan pertaruhan sama ada menerima atau membuat pertaruhan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya – berita harian