KUALA LUMPUR: Polis dijangka memanggil 5 individu, termasuk seorang menteri bagi merekodkan kenyataan mereka susulan satu laporan polis yang dibuat terhadap mereka yang didakwa memfitnah penceramah bebas Dr Zakir Naik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, pegawai beliau akan menghubungi 5 individu terbabit minggu depan bagi membantu siasatan.

Lima individu berkenaan, iaitu Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; bekas duta, Dennis Ignatius; timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, dinamakan dalam laporan polis yang dibuat oleh Zakir Naik.

Zakir Naik mendakwa 5 individu berkenaan membuat kenyataan fitnah terhadap beliau

“Kami akan pastikan semua datang untuk direkodkan kenyataan mereka,” katanya selepas menghadiri satu acara melibatkan pegawai kanan polis di sini, hari ini.Huzir berkata, polis telah menghubungi individu berkenaan.