IPOH: Polis Perak berjaya memberkas 10 lelaki termasuk ketua kumpulan itu yang disyaki terlibat dengan beberapa kes jenayah sejak 2015 hingga tahun lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, mereka yang berusia antara 27 hingga 50 tahun ditahan dalam satu serbuan di sini pada 13 Mac lalu.

Menurutnya, mereka ditahan hasil Op Cantas Subaru Kanthan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) JSJ Bukit Aman sejak Oktober lepas.

“Kumpulan ini telah terlibat dengan beberapa kes jenayah iaitu bunuh, pergaduhan yang mendatangkan cedera parah dan khianat terhadap harta benda bermula 2015 hingga tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razarudin berkata, hasil semakan terhadap semua suspek yang beralamat di Ipoh dan Batu Gajah itu mendapati mereka mempunyai rekod jenayah kekerasan serta dadah.

Menurutnya, polis kini masih memburu beberapa orang suspek yang dipercayai anggota kumpulan sama yang masih bebas.

“Bagi membendung kumpulan ini daripada terus berleluasa, peruntukkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah dilaksanakan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 130V BAB VI B Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Menurut Razarudin, kesemua suspek ditahan reman selama 28 hari sehingga Khamis ini di bawah Peruntukkan Seksyen 4(5) SOSMA.

Katanya, kertas siasatan berhubung kes itu telah dilengkapkan dan setelah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara semalam, pertuduhan terhadap 10 lelaki itu akan dijalankan di Mahkamah Sesyen Ipoh esok.