BAGAN SERAI – Polis Perak berikrar lebih komited memantau mana-mana pegawai yang memiliki harta pemilikan luar kemampuan bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya menyeru warga polis Perak sentiasa berhati-hati dalam pemilikan harta kerana harta dimiliki di luar kemampuan bukan sahaja mengundang masalah kewangan, bahkan mengundang persoalan pada kaca mata rakyat.

Menurutnya, warga polis Perak perlu lebih bijak menguruskan tugas dan tanggungjawab mereka agar tidak sesekali terjebak dengan perbuatan salah laku rasuah dan salah guna kuasa.

“Setiap ketua jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Perak, ketua polis daerah dan ketua formasi digesa lebih komited mengawal dan memantau perkara ini bagi memastikan warga polis Perak sentiasa berada di landasan betul.

“Kawalan dalaman seperti pengisytiharan harta, disiplin dan harus dilaksanakan dan diperketatkan dari semasa ke semasa.

“Kegagalan dalam melaksanakan kawalan ini terhadap pegawai diselia akan mengakibatkan organisasi polis dipandang rendah dan dipersoal masyarakat,”katanya melalui teks ucapan di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Cawangan Khas Perak, Datuk Mazlan Santarai dalam program perhimpunan bulanan kontinjen Polis Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian di sini hari ini.

Hasnan berkata, pada masa sama, polis Perak juga perlu memastikan setiap aduan dan tohmahan dilakukan terhadap warga polis diteliti dan disiasat.

Menurutnya, isu integriti perlu dititik beratkan semua warga polis Perak bagi mendapatkan kepercayaan kerajaan dan masyarakat.

“Dalam menguatkuasakan undang-undang juga,  warga polis Perak diingatkan agar menjauhi sebarang perbuatan salah laku serta sentiasa menjaga integriti bagi membolehkan aktiviti jenayah dapat dihapuskan,”katanya.

Sementera itu,  Hasnan menegaskan isu judi masih lagi perlu diberi penekanan dan dibasmi polis Perak dengan lebih agresif.

Lebih-lebih lagi, beliau menegaskan pihak kerajaan dan masyarakat kini semakin giat memantau tindakan-tindakan dilakukan pihak berkuasa terutama polis dalam menangani masalah ini.

“Risikan dan operasi lebih efektif perlu dilakukan dengan lebih kerap untuk memastikan isu judi tidak lagi wujud dan berleluasa serta jenayah ini tidak wajar dikompromi,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasnan memberitahu polis Perak turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis(IPCMC).

Menurutnya, IPCMC tidak harus dilihat sebagai satu serangan  atau ketidakbolehpercayaan terhadap polis.

“Namun sebaliknya merupakan satu mekanisme meningkatkan keyakinan awam terhadap polis, mengurangkan penyalahgunaan kuasa dan meningkatkan kebolehpercayaan organisasi polis sendiri,”katanya.

Terdahulu, Mazlan yang mewakili Hasnan turut menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Perak kepada 117 warga polis Perak di atas sumbangan diberikan kepada agensi itu – sinar