IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.04 juta hari ini, membabitkan 3,153 kertas siasatan sejak tahun 1999 bagi kes yang telah selesai perbicaraan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng, berkata pelupusan itu membabitkan dadah antaranya jenis ganja, heroin, syabu,daun ketum, eramin 5, ekstasi, ubat batuk dan cecair ketum.

“Sebanyak 15 daerah terbabit dengan pelupusan dadah tahun ini iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar ,Pengkalan Hulu, Selama, Batu Gajah, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian dan Perak Tengah.

“JSJN Perak akan mengadakan pelupusan eksibit dadah hari ini dengan menghantar kesemua eksibit dadah yang telah selesai proses perbicaraan kepada Syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn. Bhd. Bukit Pelanduk Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Pelupusan Eksibit Dadah di Syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd. Bukit Pelanduk Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Katanya lagi kesemua eksibit berkenaan adalah hasil serbuan dan rampasan yang dilakukan serta telah pun selesai proses perbicaraan mahkamah.

Boon Keng berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 sebanyak 3,551 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,241 kertas siasatan telah dituduh iaitu pencapaian sebanyak 91 peratus.

Jelasnya lagi, seramai 1,693 orang telah diambil tindakan bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 bagi tindakan pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah, di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.