IPOH : Polis Perak berjaya merampas lebih 97 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM 7 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2019.

Dalam masa sama, pelbagai jenis harta milik pengedar dadah bernilai kira-kira RM5.6 juta berjaya disita sepanjang tempuh yang sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, RM2.2 juta adalah pelbagai jenis kenderaan, rumah RM2.7 juta, wang tunai rm0.5 juta dan barang kemas RM56,000.

“Bagi menentukan bahawa Perak bersih daripada dadah, prestasi yang telah ditunjukkan oleh Jabatan Narkotik Perak sangat memberansangkan.

“Semua daerah, 15 daerah telahpun menunjukkan prestasi yang memberansangkan yang mana semua tangkapan ataupun rampasan pemilikan, permintaan bekalan dan juga daripada Akta LLPK ini telahpun menunjukkan peningkatan,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media sempena program pelupusan barang kes dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (ISJN) 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azhar Mokhtar.

Razarudin berkata, tangkapan dadah bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan 18 peratus kepada 11,138 berbanding dengan 9,468 orang tempoh yang sama tahun lalu.

Di samping itu, katanya, tangkapan pengurangan bekalan juga menunjukkan peningkatan 12 peratus daripada 2,060 tahun lalu kepada 2,306 orang tahun ini dan tangkapan pengurangan permintaan pula meningkat 19 peratus daripada 7,283 orang kepada 8,655 orang.

Beliau memberitahu, pada Ogos lalu, JSJN Perak telah melancarkan `Op Blue Devil’ peringkat kontinjen Perak bagi membersihkan jabatan polis dari gejala najis dadah.

“Sehingga kini seramai 431 anggota pelbagai pangkat telah diperiksa dan hasil operasi ini berjaya menahan 16 anggota di atas pelbagai kesalahan,” ujarnya.

Di samping itu, kata Razarudin, seramai enam anggota polis telah diambil tindakan mahkamah dan enam lagi masih di dalam siasatan.