IPOH: Polis Perak berjaya menahan dua lelaki dan merampas dadah, disyaki jenis heroin, yang dianggarkan seberat 397.5 gram dalam serbuan di Taman Arkid, Menglembu, dekat sini, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP V.R Ravi Chandran berkata, serbuan dibuat kira-kira jam 3.30 pagi oleh sepasukan pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPK) Perak.

Menurut beliau, di dalam serbuan itu, polis menahan dua suspek yang berumur 20 dan 30 tahun.

“Hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis berjaya merampas satu beg berwarna merah, di dalamnya terdapat satu paket lutsinar berisi bahan-bahan yang disyaki dadah jenis heroin yang dianggar seberat 397.5 gram, satu penimbang digital dan satu paket plastik lutsinar berisi beberapa paket lutsinar kosong dari dalam sebuah kenderaan jenis Honda Jazz yang diletak di hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek yang berumur 30 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Beliau menambah, hasil saringan awal air kencing kedua-dua mereka didapati negatif.

Beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dadah sebanyak RM13,913.50.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.