PUTRAJAYA : Sepuluh pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, ia bagi merakamkan keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berhubung sembilan rakaman audio yang didedahkan suruhanjaya terbabit pada 8 Januari lalu.

Semua pegawai polis berkenaan tiba di SPRM secara berasingan menaiki kenderaan Proton Preve jam 2.30 petang tadi.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu termasuk beberapa tokoh asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan selama 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, malah agensi antirasuah berkenaan menaruh keyakinan rakaman terbabit adalah tulen.