BAGAN SERAI – Polis berjaya merampas 342 karton rokok seludup, 22 botol minuman keras serta 15 jenis mercun bernilai RM50,000 selepas membuat serbuan di enam premis di sekitar daerah Kerian sejak minggu lalu.

Ketua Polis daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, serbuan tersebut dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan pihaknya.

“Hasil serbuan tersebut, polis menemui 324 karton daripada 23 jenis jenama rokok yang dipercayai rokok seludup yang disimpan dan dijual di premis berkenaan.

“Polis turut menjumpai 22 botol minuman keras yang diragui copnya selain 15 jenis mercun dalam daripada premis tersebut,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kerian hari ini.

Tambah Mazuki, pihaknya juga menahan enam suspek berusia 18 hingga 49 tahun dalam enam serbuan berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Semua tangkapan dan barang rampasan telah di bawa balik ke IPD Kerian untuk siasatan lanjut.

“Semakan terhadap semua tangkapan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Katanya, barang kes rokok dan minuman keras akan di hantar kepada pihak Kastam Diraja Malaysia untuk dinilai harga pasaran terkini dan turut dibawa ke Jabatan Kimia bagi menilai kandungan tembakau tersebut.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup manakala kes mercun disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.” katanya. – K! ONLINE.