GERIK, 29 DIS – Polis berjaya merampas hampir empat tan daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM120,000 dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kilometer 17 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Sungai Lebey, Ahad lepas.

Pemeriksaan sekitar jam 10.30 malam oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Gerik itu turut menahan dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai pemandu dan kelindan lori.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berlakunya aktiviti penyeludupan ketum di kawasan itu sebelum bertindak mengekori dan menahan kenderaan terbabit yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli.

“Pemeriksaan ke atas lori terbabit kemudiannya menemui 800 bungkusan plastik hitam yang didalamnya terdapat bungkusan kecil berisi daun ketum.

“Kesemua rampasan ketum dianggarkan seberat empat tan ini diperoleh dari sebuah kawasan di Kedah untuk dihantar ke Kelantan dipercayai bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada Selasa.

Menurutnya, dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 46 dan 52 tahun itu mengaku menerima upah sekitar RM1,000 seorang untuk membawa muatan ketum terbabit dengan menggunakan lori yang disewa.

“Sepertimana tangkapan sebelum ini, kita yakin sindiket ini juga menggunakan modus operandi yang sama.

“Kita juga percaya, aktiviti penyeludupan ini didalangi banyak pihak memandangkan ia melibatkan laluan di tiga negeri iaitu Kelantan, Perak dan Kedah yang jarak laluannya lebih 300 kilometer,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan telah direman selama tiga hari bermula Isnin untuk siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

Katanya, ujian urin adalah negatif, namun semakan mendapati kedua-dua mereka mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Ini merupakan rampasan ketum terbesar berjaya dilakukan IPD Gerik untuk tahun ini,” katanya.

Zulkifli berkata, sepanjang Januari hingga Disember ini, seramai 87 individu ditahan membabitkan 66 kes rampasan daun dan air ketum.

“Daripada jumlah itu, kita berjaya merampas lebih 11.7 tan daun ketum yang dianggarkan keseluruhan nilai pasaran lebih RM350,000,” katanya. – SINAR HARIAN