KUALA LUMPUR : Laporan analisis video intim dikaitkan dengan seorang menteri yang dijalankan pakar di Amerika Syarikat (AS) sudah diterima polis pada hujung bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

“Polis dan Jabatan Peguam Negara akan mengeluarkan satu kenyataan bersama dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkembangan siasatan kes berkenaan.

“Ini termasuk laporan hasil analisis ketulenan video berkenaan yang kita sudah terima hujung bulan lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Meraikan Atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sukan SEA 2019 yang disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sementara itu, Huzir berkata, sepasukan pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara hari ini, berhubung tiga kes yang sedang disiasat unit berkenaan.

“Ia berkaitan siasatan kes video intim membabitkan seorang menteri berkenaan, akuan bersumpah (SD) Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan SD Azilah Hadri terhadap Datuk Seri Najib Razak,” katanya.