TAPAH: Polis sedang mengenalpasti punca sebenar kejadian yang menimpa dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri dalam kejadian di Manjung, Perak dan Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (PGA), Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, pihaknya belum mengenalpasti punca tersebut dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih menyiasat kes tersebut.

“Dalam siasatan kita secara pentadbiran tidak ada isu-isu yang sepatutnya hingga berlaku kejadian tembakan begini.

“Jika ada isu-isu lain sekalipun, kita sebenarnya ada Cawangan Intergriti, ada Cawangan Kaunseling di Briged yang boleh membantu untuk memberi nasihat dan bimbingan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Batalian 3 PGA Bidor, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, setiap Batalion PGA juga mempunyai bahagian agama yang mempunyai kaunselor berkelayakan untuk memberi kaunseling.

Pada 20 Julai lalu seorang anggota polis berpangkat Koperal daripada PGA Senoi Praaq meninggal dunia dipercayai tertembak diri sendiri dengan menggunakan senjata jenjs M4 dalam satu kejadian di Berek Polis Pantai Remis, Manjung.

Pada 7 Ogos pula, seorang lagi anggota PGA berusia 31 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri di bilik rehat Markas Latihan Luar Tupah, Pusat Latihan PGA (PLPGA) di Bedong, Sungai Petani.