IPOH: Polis membuka kertas siasatan berkaitan pemasangan kain rentang berunsur provokasi di dua lokasi di daerah ini semalam.

Kain rentang yang dipasang di jejantas Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dan Medan Selera Stadium Perak itu masing-masing tertera tulisan ‘F*** politik 317 kes’ dan ‘Rakyat jaga rakyat, menteri jaga poket’.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kain rentang ‘F*** politik 317 kes’ oleh orang awam pada pukul 9 malam sebelum anggota dihantar ke jejantas HRPB untuk pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan di lokasi tersebut bagaimanapun tidak menemukan sebarang kain rentang yang digantung di jejantas berkenaan.

“Pemeriksaan di kawasan sekitar kemudiannya menjumpai kain rentang berkenaan dalam plastik berwarna putih di dalam tong sampah di belakang hentian bas Jalan Raja Ashman Shah menghala ke Angsana Mall,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, laporan sama turut diterima berkaitan kain rentang tertera ayat ‘Rakyat jaga rakyat, menteri jaga poket’ di Medan Selera Stadium Perak pada pukul 12.15 tengah malam tadi namun kain rentang berkenaan tidak ditemui. 

Katanya, siasatan di dua lokasi berkenaan tidak menemukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mahupun saksi bebas yang tampil bagi membantu siasatan.

“Setakat ini kertas inkuiri polis sudah dibuka bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya. -UTUSAN