GOPENG: Polis menerima laporan berkaitan satu klip video memaparkan perlakuan tidak senonoh dua orang pelajar sekolah menengah melakukan seks oral di rumah dengan berpakaian seragam sekolah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 September lepas kira-kira jam 6.30 pagi di mana perempuan itu mengajak teman lelakinya yang juga merupakan pelajar sekolah masuk ke dalam rumah.

“Mereka membuat satu rakaman klip video berdurasi 1 minit 9 saat yang memaparkan mereka melakukan seks oral ketika berpakaian seragam sekolah.

“Rakaman tersebut dipercayai dibuat oleh kedua-dua pelajar tersebut tanpa melibatkan orang ketiga.

“Hasil siasatan lanjut mendapati pelajar perempuan tersebut telah berkongsi rakaman klip video dengan beberapa rakan sekelas melalui Aplikasi Whatsapp.

“Akibat dari itu, klip video berkenaan telah tular di media sosial dan di kalangan pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, pihak polis telah menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 serta Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

“Tangkapan telah dilakukan ke atas seorang lelaki semalam pada jam 11.30 malam untuk siasatan lanjut berkaitan kes ini,” katanya.

Ujarnya susulan daripada klip video yang tular, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memiliki, menyebar atau berkongsi klip video tersebut kerana tindakan ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Sekiranya terdapat dan terbukti berlakunya penyebaran, mereka boleh disiasat dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima belas tahun dan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan.