TAIPING: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai tertembak isterinya dengan senjata api tiruan.

Mangsa, seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sini cedera di lengan kiri akibat terkena tembakan senapang Rifle tiruan milik suaminya, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, ekoran penahanan lelaki berusia 40-an itu, polis turut merampas beberapa senjata tiruan di kediamannya di Taman Desa Murni, Kamunting, semalam.

Beliau berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak hospital yang merawat mangsa berusia 30-an.

Mangsa dipercayai secara tidak sengaja terkena peluru senjata buatan Taiwan itu ketika suspek sedang membersihkannya.

“Pemeriksaan lanjut di rumahnya menemui tiga senjata api tiruan iaitu pistol Pietro Gardone V.T buatan Italy; pistol Glock Inc Smyra GA buatan Austria dan Rifle WE918 Full Auto and Semi buatan Taiwan.

“Turut ditemui pelbagai aksesori senjata api termasuk ‘silencer’,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.

Osman berkata, dalam soal siasat, suspek mengaku obses mengumpul senjata tiruan sejak dua tahun lalu dan semuanya dibeli secara dalam talian.

Difahamkan, suspek juga merancang untuk membeli selaras lagi senapang jenis M16 yang dikatakan berharga RM18,000.

Menurutnya, suspek adalah kapten kapal swasta yang berpangkalan di Terengganu dan sedang bercuti.

Polis masih menyiasat motif utama lelaki itu mengumpul senjata api.

Dia ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 36 dan 37 Akta Senjata 1960.