Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek terbabit diberkas di rumahnya di Kampar pada pukul 3.15 petang, semalam.

Katanya, lelaki itu kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Susulan penemuan identiti mangsa, siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah telah berjaya menangkap suspek utama yang merupakan anak pemilik ladang lembu tempat mangsa bekerja.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 32 tahun itu didapati telah dibunuh pada petang 15 Disember lalu,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, motif pembunuhan itu dipercayai ekoran perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

“Kejadian ini berpunca apabila suspek memaklumkan kepada isterinya yang dia keluar makan bersama mangsa pada hari kejadian tetapi mangsa menafikan mereka keluar bersama.

“Ini menyebabkan isteri suspek marah kepada lelaki itu kerana mengesyaki telah ditipu dan isu itu melarat sehingga mangsa akhirnya dibunuh dan dibuang ke dalam Sungai Kinta,” katanya.

Akhbar baru-baru ini melaporkan, mayat seorang lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan dalam keadaan reput dan tersangkut pada pokok di Sungai Kinta, Sungai Galah di Kampung Gajah.

Mayat dalam keadaan tertiarap tanpa baju itu diikat dengan tali pada kaki kanannya dan tali tersebut pula diikat pada ‘carrier’ sebuah motosikal jenis Kriss yang dipercayai dijadikan sebagai pemberat bagi menenggelamkan mayat tersebut.

Pemeriksaan pada tubuh mangsa menemukan kesan kelar pada leher dan dua kesan luka di belakang kepala.-UTUSAN ONLINE