SUNGAI SIPUT: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 16 hingga 40 tahun yang dipercayai anggota sindiket ah long di Taman Headwood di sini, kira-kira pukul 4.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, mereka ditahan oleh pihak polis yang mengesyaki kumpulan lelaki itu sedang melakukan kerja-kerja memasang ‘banner’ iklan pinjaman wang haram di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, mereka ditahan menaiki sebuah kereta jenis Honda City dan polis merampas 172 keping ‘banner’, 3,100 keping kad perniagaan, sepaket paku payung, dua tukul besi serta empat telefon bimbit kepunyaan suspek.

“Kegiatan sindiket ah long itu disyaki didalangi oleh kumpulan kongsi gelap. Sindiket ah long itu bersedia memberikan pinjaman sehingga RM500,000 dengan kadar faedah 1.5 peratus setahun.

“Namun, ia hanya bertujuan mengaburi mata orang ramai supaya membuat pinjaman dengan mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Abd Fatah, kesemua suspek itu yang berasal dari Ipoh dan Selangor kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang daripada ah long kerana ia hanya mengundang padah apabila peminjam tidak mampu membayar semula pinjaman yang dikenakan faedah terlalu tinggi,” katanya.