CHERAS: Polis akan membuka kertas siasatan sekiranya perlu berhubung isu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang didakwa melanggar arahan kuarantin kendiri bagi mengawal penularan COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya masih meneliti kes berkenaan termasuk permohonan maaf dibuat Amirudin di media sosial sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

“Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang laporan berkaitan isu itu.

“Polis akan teliti perkara ini termasuk permohonan maaf dibuat Amirudin. Kenyataan itu dibuat menerusi media sosial.

“Kalau ada keperluan, kita buka kertas siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Amirudin dalam mesej Twitter pada 4 Oktober lalu memohon maaf kerana terpaksa keluar dari kuarantin malam berkenaan bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas.

“Namun saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai ‘face shield’, ‘face mask’ juga kedua-dua ujian saringan saya menunjukkan keputusan negatif,” katanya dalam hantaran itu.

Beliau juga memaklumkan turun melawat LRA Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada hari berkenaan.