IPOH: Tindakan dua suspek yang dipercayai ahli kumpulan Geng Mamak melibas parang ke arah polis berakhir apabila mereka ditembak mati dalam kejadian di Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam, Chemor pada malam Selasa.

Dalam kejadian sekitar 9.30 malam itu, kedua-dua suspek cuba ditahan oleh sepasukan Bahagian Jenayah Berat D9 Bukit Aman yang membuat rondaan cegah jenayah sebelum terserempak kenderaan dipandu suspek dalam keadaan amat mencurigakan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, anggota polis cuba untuk menahan suspek namun kenderaan jenis Toyota Vios itu terus memecut laju ke arah Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam.

Menurut beliau, polis akhirnya berjaya memintas suspek apabila tiba di satu selekoh sebelum suspek bertindak agresif.

“Suspek cuba melanggar kenderaan polis namun terbabas, sebelum melepaskan empat das tembakan ke arah polis manakala seorang lagi suspek di bahagian kiri kenderaan keluar sambil melibas parang.

“Anggota polis kemudiannya melepaskan tembakan ke arah suspek sehingga tiada ancaman,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek dikenai sebagai “Misai” dan “Ganesh” yang berusia di antara 30 dan 50 tahun.

“Kami tidak menjumpai sebarang pengenalan diri dan cap jari kedua-dua suspek telah diambil untuk pengesahan,” katanya lagi.

Hasnan berkata, pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 Special, dua butir peluru hidup dan empat kelongsong peluru, empat parang, kapak, kuku kambing, vest polis dan beberpapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek dipercayai sedang merancang untuk kegiatan jenayah seterusnya di sekitar kawasan Ipoh sebelum pelan mereka digagalkan oleh pihak polis.