BAGAN SERAI – Polis masih meneruskan siasatan mengenai Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di Balai Polis Simpang Lima, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat mengesahkan, setakat ini pihaknya sudah mengambil keterangan daripada seorang anggota.

“Kita terima laporan daripada ketua polis balai berkenaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kejadian ini turut tular di media sosial.

Mazuki berkata, insiden itu perlu dijadikan iktibar kepada pegawai dan anggota enam balai dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian supaya tidak cuai ketika melaksanakan tugas.

“Jangan pandang remeh dan ambil mudah perkara-perkara seperti ini, kita kena tengok berkali-kali untuk pastikan bendera yang dipasang itu betul.

“Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak tidak kira pegawai, anggota polis atau orang awam yang memasang bendera terbalik,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhenti menularkan gambar tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963.