JOHOR BAHRU, 23 DIS : Anggota polis trafik berpangkat konstabel bukan sahaja memandu kereta secara berbahaya dengan melawan arus, malah disyaki di bawah pengaruh alkohol dalam satu kejadian berlaku di Jalan Lingkaran Dalam di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menerima satu rakaman video pada pukul 12.30 pagi berkaitan kejadian sebuah kereta dipandu secara berbahaya.

Katanya, Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Bahru Selatan kemudian berjaya menahan lelaki itu di sebuah stesen minyak berhampiran dan hasil siasatan mendapati anggota polis berusia 25 tahun itu tidak bertugas pada masa kejadian serta menggunakan kenderaan persendirian.

“Ekoran penahanan itu, suspek kemudian disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan ia memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih lima tahun.

“Selain itu, lelaki berkenaan disiasat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu dalam keadaan pengaruh mabuk. Jika sabit kesalahan, boleh denda maksimum RM30,000 dan boleh dipenjara dua tahun serta hilang kelayakan memandu tidak kurang dua tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melanggar undang-undang termasuk kesalahan trafik.

Katanya, pihak polis memastikan bahawa siasatan dijalankan dengan telus dan suspek bakal dituduh di mahkamah.

“Kita tiada kompromi dalam soal ini dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku terlibat,” katanya. -UTUSAN ONLINE