IPOH : Polis berjaya menumpaskan geng Honda City atau Geng Ah Leong yang aktif dalam kegiatan pecah rumah, dengan tertangkapnya tiga orang, termasuk seorang tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang dipercayai ketua kumpulan itu.

Suspek, dua lelaki berumur 48 dan 38 tahun di berkas bersama-sama seorang wanita berumur 41 tahun dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah di Meru Valley, Jelapang di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika serbuan dibuat, suspek yang lari daripada tahanan POCA di Pasir Puteh, Kelantan sejak Jun 2019, cuba terjun dari tingkat dua rumah menyebabkan kedua-dua tapak kakinya retak.

“Daripada serbuan ini, kita telah mendapat keseluruhannya 34 barang kes termasuk sebuah motokar Honda City warna putih yang nombor pendaftaran asalnya telah dipalsukan.

“Daripada modus operandi yang dijalankan didapati kumpulan ini bergerak menggunakan Honda City putih ini memasuki taman-taman perumahan, yang menjadi tumpuan mereka selalunya di kawasan-kawasan yang mempunyai pengawal keselamatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, pada Rabu.

Menurutnya, sehingga kini, kumpulan tersebut mengaku melakukan 13 kes pecah rumah di Ipoh dan Sungai Siput serta beberapa kes di Selangor dan Kuala Lumpur.

Polis turut menyiasat kemungkinan kumpulan ini terlibat dalam kes pecah rumah Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang sedang menghadapi tuduhan kes rogol pembantu rumah.

Asmadi berkata, kereta Honda City yang digunakan adalah milik isteri tahanan POCA yang telahpun membuat laporan polis bahawa suaminya melarikan keretanya Jun lalu.