IPOH: Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket memalsukan dokumen kerajaan apabila menahan lima individu, termasuk seorang ‘Datuk Seri Panglima’ dalam tiga serbuan berasingan di Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping semalam.

Kumpulan yang dikenali sebagai `Geng Tuah’ itu aktif menjalankan pemalsuan dokumen seperti Mykad, lesen memandu, cukai jalan dan pasport sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee, sindiket berkenaan dipercayai turut didalangi kakitangan kerajaan apabila dokumen yang disediakan adalah asli namun, hanya butiran sahaja palsu.

Katanya, sindiket itu turut meletakkan gelaran seperti `Datuk’ dalam butiran dokumen berkenaan atas permintaan pelanggan dan salah seorang suspek turut menggunakan gelaran `Datuk Seri Panglima’ pada dokumen pengenalan dirinya.

Gan berkata, polis turut merampas tiga kereta mewah seperti Mercedes Benz, BMW dan Toyota Alphard.

Beliau menambah, semakan mendapati rekod tidak wujud dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan syaki kereta klon dengan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu.

“Polis akan menyiasat ke akar umbi kumpulan ini kerana kita memandang serius bagaimana dokumen kerajaan boleh jatuh ke tangan sindiket yang dipalsukan butirannya.

“Saya menyeru kepada mereka yang telah membeli sijil pendaftaran kenderaan, Mykad, pasport dan dokumen kerajaan daripada ahli sindiket ini supaya menyerah diri dan jangan tunggu polis menangkap mereka atas tuduhan bersubahat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis Ipoh pada Isnin.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 40-an kini dalam tahanan reman selama empat hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Gan berkata, polis masih meneruskan siasatan dan risikan bagi mengesan ahli sindiket yang masih bebas.