TAPAH: Polis berjaya menumpaskan makmal memproses dadah di kawasan terpencil dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Chenderiang, Perak pada Rabu.

Polis turut merampas 37.2 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.6 juta yang boleh digunakan oleh 186,000 penagih dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam lima serbuan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur yang dijalankan serentak, polis juga menahan 10 lelaki, termasuk seorang warga Myanmar, berumur antara 17 hingga 45 tahun.

“Selain daripada tangkapan yang dibuat seramai 10 orang itu, kita juga telah berjaya merampas tujuh buah kereta, di samping wang tunai RM115,490.

“Kesemua rampasan duit, kereta dan juga syabu ini berjumlah RM2,122,490,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, di sini, hari ini.

Menurut Razarudin, berdasarkan siasatan awal, operasi makmal dadah itu dipercayai bermula sejak Mei lalu, untuk bekalan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, selain tindakan undang-undang di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kesemua suspek, termasuk pasangan adik beradik itu direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Razarudin berkata, kejayaan itu adalah yang kedua melibatkan makmal dadah di kawasan pedalaman di Perak, selepas kejayaan di Manjung pada Februari lalu.