IPOH, 5 DIS – Bendera rasmi Sultan Perak berkibar megah di perkarangan Istana Kinta, Ipoh menandakan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersemayam di istana itu.

Hari ini, baginda dijadual bertemu dengan tiga pengerusi parti yang mewakili Pakatan Harapan (PH) iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi jam 11 pagi ini.

Ia selepas ketiga-tiga mereka memohon untuk menghadap Sultan Nazrin susulan kemelut politik di negeri ini.
Perkenan itu dibuat Sultan Nazrin seiring duluan (precedent) sebelum ini termasuk sewaktu pembentukan Kerajaan Negeri Perak pada 2018 dan krisis politik awal tahun ini.

Sultan Nazrin akan menerima menghadap pemimpin-pemimpin parti untuk menerima maklum berkaitan sokongan dan gabungan yang bakal dibentuk, sebelum baginda melantik seseorang menjawat jawatan Menteri Besar.

Menjadi persoalan ketika ini ialah penjajaran serta gabungan politik yang bakal berlaku bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak yang baharu.

Buat masa ini, media belum dimaklumkan sekiranya terdapat individu-individu lain yang akan dipanggil menghadap oleh Sultan Nazrin.

Pagi semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya.
Pada petangnya, beliau dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak.

Terdahulu, turut dipanggil menghadap, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin. – Awani