TAPAH – Masyarakat digesa membantu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengatasi masalah pelajar ponteng sekolah di kawasan masing-masing.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Mat Jaafar Mat Zin berkata, masalah itu perlu ditangani bersama dan tidak hanya menuding jari kepada PPD dan JPN semata-mata.

“Ia perlu penglibatan semua pihak termasuk PPD, JPN dan masyarakat jika mahu masalah ini diatasi.

“Jika kami (PPD dan JPN) yang hanya bertindak tanpa disokong dan dibantu masyarakat, masalah ponteng sekolah akan terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ops Ponteng di peringkat Daerah Batang Padang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil, di sini.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah, Osman Mohammed Bahari.

Mat Jaafar berkata, penglibatan masyarakat juga penting kerana mereka boleh menyalurkan maklumat berkenaan sarang pelajar ponteng pada waktu sekolah.

Dalam pada itu, katanya, Ops Ponteng itu dijalankan serentak di seluruh negara dengan kerjasama agensi kerajaan lain bagi membanteras masalah ponteng dalam kalangan pelajar.

Katanya, pihaknya akan menahan mana-mana pelajar yang ponteng dan dibawa ke sekolah sebelum khidmat kaunseling dijalankan.

“Kita mengambil pendekatan membantu, mendidik dan bukannya terus menghukum mereka. Kita akan beri nasihat dalam pada masa sama pihak sekolah akan panggil ibu bapa mereka.

“Ini adalah salah satu cari pihak kami bersama agensi kerajaan untuk membanteras masalah ponteng di dalam negeri ini,” katanya.

-SinarHarian