IPOH, 12 JAN : Sebut tentang Manjoi, pasti ramai dalam kalangan kita yang tahu bagaimana perkampungan Melayu dalam bandar ini sentiasa sibuk dengan kenderaan keluar masuk setiap hari.

Lihat sahaja pada waktu pagi, tengahari dan petang, deretan gerai jualan yang sinonim di Manjoi iaitu Jalan Tali Api tidak pernah sunyi dengan orang ramai yang mahu membeli kuih-muih dan makanan lain.

Ada satu lagi ‘port’ makan terbaharu di sini yang dinamakan Laman Manjoi, iaitu di 1170, Jalan Perwira, Gugusan Manjoi.

Menariknya, menurut pemilik Laman Manjoi, Malizan Zakaria, 50, dia memilih untuk membuka kedai makan itu di kediaman arwah ibunya kerana mahu mengekalkan ciri-ciri tradisional dan suasana kampung.

“Tercetusnya idea ini (buka Laman Manjoi) selepas saya diberhentikan kerja di hotel, selepas tiada punca pendapatan saya cari ilham untuk buka perniagaan ini.

“Ini merupakan rumah orang tua saya yang saya tinggalkan kerana sebelum ini bekerja di Vietnam, selepas saya balik dari Vietnam, saya ke sini dan lihat kawasan agak luas. Jadi lebih baik dibuat restoran.

“Konsep restoran ini di halaman rumah, saya naikkan martabat Manjoi dan mahu promosikan tempat ini dan sebab itu namanya Laman Manjoi,” katanya kepada Suara Perak.

Katanya lagi, selain menampikan konsep masakan kampung, Laman Manjoi turut memperkenalkan menu Cina muslim yang halal.

Antara menu yang menjadi tarikan di sini seperti see weed soup, shark fin soup, ikan kam heong, udang butter/nestum, ayam pandan, shell out dan steamboat selain menu tradisi perak dan menu set tengahari dan malam.

Malizan berkata, kebanyakan staf di sini juga terdiri daripada mereka yang hilang pekerjaan susulan COVID-19, khususnya di bidang perhotelan.

“Kebanyakan daripada mereka hilang kerja, contohnya rakan baik saya sendiri yang bekerja di salah sebuah hotel di Ipoh. Jadi saya ajak dia sertai kami di sini, dengan itu dapat membantu mereka yang hilang punca pendapatan,” katanya.

Bagi penggemar makanan laut pula, anda disyorkan untuk membuat tempahan terlebih dahulu bagi mengelakkan menunggu dalam tempoh yang lama.

“Saya syorkan pelanggan buat tempahan untuk seafood kerana kalau walk in tempohnya agak lama bagi proses memilih ikan dan memasak. Harganya dijamin berpatutan.

“Manjoi memang banyak kedai makan, lebih-lebih lagi yang menyediakan menu seperti tomyam dan masakan Siam, konsep makanan Cina muslim ini saya lihat belum meluas lagi di sini, diharapkan pelanggan puas hati,” katanya.