KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bakal melancarkan siri setem edisi khas sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V yang boleh didapati mulai 11 September ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean berkata, set setem bertajuk ‘Edisi Khas Siri III-Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’ itu menampilkan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V serta 14 mantan Yang di-Pertuan Agong lain yang dijual pada harga RM5 dan RM1 sekeping.

“Keluaran setem pada kali ini adalah untuk memperingati kesemua 15 Yang di-Pertuan Agong dalam satu set setem dan meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-15.

“Satu helaian set setem memaparkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dijual pada harga RM5 sekeping manakala 14 setem lain yang memaparkan imej 14 mantan Yang di-Pertuan Agong pula dijual pada harga RM1 sekeping,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pos Malaysia di sini hari ini.

Menurut Diana, hanya 5,000 set setem dicetak khas untuk keluaran kali ini dan koleksi tersebut didatangkan dengan kombinasi sampul surat dan fail khas. – K! ONLINE