PETALING JAYA: Berita mengenai kehilangan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, William Yau Zhen Zhong pada 2013 kembali viral, walaupun kesnya ditutup empat tahun lalu.

 
Pengguna media sosial mula berkongsi poster kehilangan kanak-kanak lelaki pada 2013 itu sehingga mengelirukan pembaca yang mempercayai insiden berlaku pada tahun ini.

 
William yang dilaporkan hilang pada 16 Januari 2013, dilihat kali terakhir di sekitar Jalan 7/6 di Putra Heights, Subang Jaya.
Akhbar The Star melaporkan kes berkenaan pada 19 Januari 2013 selepas pencarian dilakukan dalam talian, dengan polis memaparkan butiran dan gambar kanak-kanak lelaki berkenaan di halaman rasmi Facebook.

 
Pada 20 Januri 2013, The Star membuat pengumuman kepada orang awam dengan menerbitkan poster mengenai kehilangan kanak-kanak itu.

 
Bagaimanapun, empat hari kemudian pada 24 Januari, mayat William ditemui terapung dekat jeti Sungai Sireh di Pelabuhan Klang.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

 
Sehubungan itu, pengguna media sosial dinasihatkan untuk tidak menyebarkan poster kehilangan kanak-kanak terbabit berikutan kes berkenaan ditutup.